KAHIRAH - Sebuah mahkamah di sini mengarahkan supaya nama bekas Presiden negara itu, Encik Hosni Mubarak, dan isterinya, Cik Suzzane, dimansuhkan daripada semua tempat awam.
Agensi berita Mena menukil Hakim Mohammed Hassan Omar sebagai berkata nama Encik Mubarak dan Cik Suzzane akan 'dipadamkan' di medan awam, jalan raya, perpustakaan dan semua institusi awam di seluruh negara.
Sementara itu, Encik Mubarak, 82 tahun, kini disahkan menghidap kemurungan teruk dan hanya menghabiskan masa dengan berbaring di katil hospital, kata pegawai tertinggi Mesir.
Seorang pegawai rasmi pemerintah memberitahu Fox News, Encik Mubarak masih berada di hospital di resort Laut Merah, Sharm el-Sheik.
Ini bercanggah dengan laporan awal yang mengatakan beliau sudah dipindahkan ke hospital tentera di Kahirah.
'Beliau akan ke Kahirah sebaik-baik saja mampu menaiki helikopter,' kata pegawai rasmi.
Kelmarin, pihak pendakwa raya mengarahkan pihak berkuasa supaya memeriksa kemudahan perubatan di penjara Torah di Kahirah bagi memastikan ia mempunyai kelengkapan untuk menerima kehadiran Encik Mubarak.
Dua anak lelaki Encik Mubarak, Encik Alaa dan Encik Gamal, serta ramai lagi pegawai kanan pemerintah, kini ditahan di penjara untuk disoal siasat.
Sementara itu, seorang doktor berkata Encik Mubarak menghabiskan masa di katil sambil ditemani isterinya dan hanya menjamah sedikit makanan.
Beliau dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan mengalami masalah jantung ketika disoal siasat oleh polis minggu lalu.
Tiada dakwaan rasmi yang difailkan terhadapnya.
Sekurang-kurang 846 warga Mesir terbunuh sepanjang tempoh tiga minggu kebangkitan popular yang menjatuhkan Encik Mubarak pada Februari lalu.
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น