TRAGEDI terbaru di Pattani hakikatnya adalah penonjolan satu daripada rentetan peristiwa sedih yang berlaku di wilayah ini sejak 200 tahun. Adalah bermanfaat untuk menjenguk semula sejarah bagi memahami dan menghakimi sendiri punca-punca rusuhan yang berlaku di selatan Thai.
Kemelut di Pattani bukan mengenai Islam; ia bukan mengenai penentangan bangsa Melayu terhadap pemerintah Thai dan bukan juga mengenai pengganas. Ia adalah mengenai rintihan masyarakat yang dipaksa tunduk menerusi kekerasan dan tipu daya, dan daripada sebuah masyarakat yang satu ketika terkenal dengan kemajuan serta kekayaan ekonomi.
Hari ini mereka telah menjadi salah sebuah masyarakat yang paling miskin dari segi ekonomi, budaya, saintifik serta pengetahuan. Dan secara mutlak mereka terus hidup miskin dalam tamadun moden ini.
Kisah Pattani adalah mengenai nostalgia kegemilangan kesultanan Melayu yang telah lenyap dari peta dunia. Episod terbaru kematian yang tidak sepatutnya berlaku adalah gambaran sebenar kekecewaan masyarakat yang merintih dan menangis untuk mendapatkan perhatian.
Walaupun senario di Bosnia, Palestin, Afghanistan, Kashmir dan Iraq sama tragisnya, perbezaannya ialah rintihan penduduk Pattani tidak didengari. Berulang kali ia digambarkan sebagai satu lagi gerakan pemisah dan kegiatan pengganas.
Media tempatan dan antarabangsa jauh daripada memahami alasan-alasan sebenar tercetusnya kejadian baru-baru ini, yang secara asasnya didorong oleh kekecewaan selepas 200 tahun penafian hak kemanusiaan, penghinaan, kemiskinan dan kehilangan hak-hak terhadap tanah air sendiri dan keinginan mereka untuk menjadi sebuah masyarakat yang bebas dan merdeka sekali lagi.
Cerita
Pattani adalah cerita mengenai sebuah negara yang berhak untuk menikmati kebebasan dan menentukan cara mereka sendiri yang bukan sahaja tidak mendapat perhatian malah bukan satu isu, penduduknya juga `sesat' dan tidak diiktiraf.
Ia juga mengenai geopolitik kerana Pattani adalah sebidang tanah yang amat berharga sebagai penampan antara Thailand dan Malaysia dan pantainya meliputi Selat Melaka dan Laut China Selatan - dua laluan yang amat tinggi nilainya bagi perkapalan dan perniagaan. Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun mendarat di selatan Thailand dan memusnahkan tentera British dengan mudah.
Tidakkah kita mengatakan bahawa demokrasi telah membuktikan ia adalah rakan kepada keamanan? Demokrasi diasaskan kepada hak-hak rakyat secara individu dan memberi perhatian yang pertama kepada kesejahteraan rakyat. Dalam pertarungan antara senjata, pembunuhan atau tomyam, demokrasi pastinya memihak kepada yang terakhir.
Rintihan penduduk Pattani adalah satu tragedi dalam dunia moden hari ini, memerlukan jalan penyelesaian yang hanya boleh dicapai dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan serta mempamerkan belas ihsan, kemaafan dan kefahaman.
Kemunculan Pattani hakikatnya lebih awal daripada Kesultanan Melaka, Johor dan Selangor. Para peniaga Arab, India dan China telah berdagang dengan Pattani pada 200 Masihi. Adalah dipercayai Langkasuka terletak di Pattani.
The Chinese Liang Chronicles menyebut keluasan Pattani di Southern Seas `memerlukan 30 hari untuk berjalan dari timur ke barat dan penduduknya kelihatan rapi, memakai pakaian yang diperbuat daripada kain kapas yang baik dan tidak gemar berambut panjang''.
Terdapat dua versi bagaimana Pattani mendapat namanya. Pertama kapal yang dinaiki oleh seorang putera raja dari wilayah lain telah karam di sebuah pantai dan memutuskan untuk menggelar kawasan tersebut `pantai ini'.
Versi kedua adalah seorang raja ketika memburu rusa singgah ke satu kawasan berhampiran pantai di mana dua lelaki tua tinggal dan salah seorang bernama Pak Tani. Beliau suka kawasan tersebut dan membuat keputusan untuk membina bandar baru dan mengambil sempena nama Pattani berikutan pertemuannya dengan lelaki tua berkenaan.
Pattani bertukar menjadi sebuah wilayah Islam pada abad ke-14. Kisahnya bermula apabila raja Pattani gering dan tidak boleh disembuhkan. Seorang yang dikenali dengan nama Sheikh Said secara sukarela menawarkan diri merawat beliau, dengan satu syarat sebaik sembuh beliau mesti memeluk Islam.
Bagaimanapun selepas sembuh, beliau tidak patuh pada janji dan ditimpa dua kali lagi jenis penyakit, beliau kemudian memeluk Islam dan menukar nama kepada Sultan Ismail Shah.
Bermula dari zaman itu Pattani mula berkembang dan terkenal di pelosok rantau. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, bangsa Eropah datang ke Pattani untuk mengembangkan perdagangan.
Seorang pedagang, Pinto menulis pada tahun 1538 apabila beliau sampai ke Pattani telah terdapat 300 orang Portugis. Pattani ketika itu giat mengeksport garam, ternakan dan ayam, rempah ratus, balak, kulit haiwan, tanduk dan gading gajah.
`Zaman keemasan' Pattani adalah ketika diperintah oleh empat puteri dari tahun 1584 ke 1651. Pada tahun 1602, Belanda telah dibenarkan membina pusat logistik dan pada tahun 1605 Sepanyol memulakan perdagangan dengan Pattani. Pada tahun 1612, Pattani menandatangani perjanjian perdagangan dengan British. Ketika itu juga Pattani telah didedahkan kepada politik Eropah dan mula berhadapan dengan pelbagai masalah.
Berlaku banyak peperangan antara Pattani dan Thai, serangan pertama berlaku pada tahun 1603. Sebabnya tidak jelas sama ada berkaitan perdagangan, peluasan kuasa oleh Thai, atau disebabkan oleh faktor-faktor geografi.
Belanda telah menyokong Thai dalam dua peperangan iaitu pada tahun 1632 hingga 1634 tetapi telah ditolak kerana Pattani ketika itu dibantu oleh Terengganu, Kelantan dan Johor. Kempen untuk menjatuhkan Pattani berlangsung selama 182 tahun sebelum Pattani akhirnya tewas pada tahun 1785.
Penjajah
Menurut Bagnara dalam bukunya, Pattani - Now & Before', tentera penjajah Siam amat zalim. Mereka membakar dan merampas harta orang awam.
Sumber lain menyebut mengenai langkah pengurangan penduduk - ramai yang dihantar ke Bangkok sebagai hamba. Mereka berhadapan dengan kepayahan ekonomi, perdagangan yang musnah, pengeluaran pertanian yang rendah dan rakyat yang kebuluran.
Di situ bermulanya kesukaran yang terpaksa dilalui oleh penduduk yang hidup di bawah pemerintahan kerajaan Thai.
Di situ juga bermula pelbagai proses untuk membentuk generasi baru `Thai Muslim' dan selepas beberapa ketika, mereka menukar gelaran sultan kepada raja. Orang Melayu dipaksa belajar bahasa Thai dan bahasa Melayu tidak dibenar diajar di sekolah-sekolah. Orang Melayu dipaksa menyembah Raja Thai dan berhala-berhala Buddha.
Di akhir abad ke-19, Thai memulakan pentadbiran secara terus ke atas Pattani Lama. Pattani kemudian dikecilkan kepada tujuh negeri iaitu Pattani, Nongcik, Jambu, Yala, Teluban, Raman dan Legeh (kini Narathiwat) menerusi sistem pecah dan perintah.
Selepas tahun 1808 kerajaan Thai buat pertama kali melantik raja yang terdiri daripada bukan Melayu. Pada tahun 1916, negeri-negeri tersebut dinamakan semula sebagai Changwad (Province).
Pada tahun 1901, Menteri Dalam Negeri Thai menyediakan peraturan untuk menyatukan Pattani ke dalam Siam di bawah Pentadbiran Wilayah yang berpangkalan di Songkhla dan raja-raja Melayu dibebaskan daripada membayar jaminan tahunan sebagai tanda patuh kepada Siam. Tetapi semua cukai dikirim ke Bangkok dan raja-raja itu diberhentikan dengan membayar pencen.
Berikutan penghinaan terhadap orang Melayu dan wilayah mereka, raja-raja Pattani dan Legeh menulis surat kepada British yang ketika itu di bawah Sir Frank Swettenham di Singapura untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, British mempunyai cita-cita sendiri untuk meluaskan pengaruhnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dan memerlukan naungan Thai untuk bertindak sebagai negara penampan menentang Perancis di Indo-China.
Tandatangan
Justeru Perjanjian Siam-Inggeris ditandatangani di mana Thai melepaskan terus pengaruhnya di negeri-negeri Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sementara British mengiktiraf hak-hak Siam di Pattani.
Dalam Pattani & The Development of A Thai State oleh Margaret Koch, dijelaskan bahawa kerajaan Thai telah menipu raja Pattani dengan memindahkan pentadbiran Pattani kepada Ketua Setiausaha di Siam. Raja telah menentang tindakan tersebut.
Pemerintah Siam telah mengadakan mesyuarat khas tidak rasmi dengan raja Phya Sri Sahadheb bagi menyerahkan dokumen dalam bahasa Siam untuk ditandatangani oleh raja dan menghantarnya ke Bangkok.
Dalam dokumen tersebut, kerajaan negara itu mengakui menolak semua permintaan yang dibuat oleh Raja Pattani untuk negerinya ditadbir seperti Kedah dengan kuasa penuh kecuali untuk kes-kes tertentu termasuk undang-undang Islam dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Phya turut berkata, dokumen itu bukanlah satu perjanjian sebaliknya permintaan. Raja yang menandatangani dokumen tersebut ketika menyemak terjemahan dalam bahasa Melayu mendapati ia tidak menggambarkan inti pati perbincangan mereka sebelum ini.
Walaupun Raja Pattani membantah tetapi ia tidak dihiraukan dan kerajaan Thai telah melantik gabenor, timbalan gabenor dan lain-lain pegawai untuk mengganti raja dan pegawai-pegawainya.
Bermula dengan perkembangan pada 1902 ini, pemerintahan Siam telah menyingkirkan raja-raja di tujuh negeri kecil yang terletak di bawah Pattani Agung.
Pada tahun 1938, pemerintah Thai memerintahkan hanya budaya Thai diguna pakai dan orang Melayu tidak boleh menggunakan nama-nama Arab, memakai pakaian tradisional dan tulisan jawi dihapuskan. Perkahwinan Islam tertakluk kepada beberapa peraturan baru.
Pegawai-pegawai yang dilantik adalah daripada kalangan masyarakat Buddha. Orang Melayu tidak dibenarkan pegang jawatan hanya kerana mereka beragama Islam.
Terdapat beberapa kumpulan pemberontak dan pendesak yang tidak berjaya, satu daripadanya dipimpin oleh Haji Sulong, pemimpin agama yang merangka tujuh permintaan kepada kerajaan Thai di mana beliau menekankan mengenai;
1. Supaya pemimpin Pattani terdiri daripada orang Islam.
2. Bahasa Melayu diajar di sekolah sebelum memasuki sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Thai.
3. Pungutan cukai di Pattani akan digunakan untuk pembangunan Pattani.
4. 80 peratus pegawai-pegawai kerajaan hendaklah yang beragama Islam sesuai dengan agihan populasi di situ.
5. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
6. Menubuhkan mahkamah syariah dalam kes-kes berkaitan hal ehwal Islam.
7. Pengiktirafan bangsa Melayu di empat wilayah.
Menangkap
Kerajaan Thai kemudian menangkap dan memenjarakan Haji Sulong. Selepas Perang Dunia Kedua, nasib Pattani terjamin apabila Britain dan Thai menandatangani Penyelesaian Damai Inggeris-Thai (Anglo-Thai Peace Settlement) pada tahun 1945/46 tanpa menyebut kedudukan Pattani.
Sebagai balasan pemerintah Thai bersetuju untuk membekalkan 1.5 juta tan beras secara percuma kepada British kerana menggugurkan tuntutan kepada Pattani.
Pertubuhan paling akhir ditubuhkan pada tahun 1948 untuk memperjuangkan Pattani adalah Gampar atau Gabungan Melayu Pattani Raya untuk menyatukan Pattani dan membebaskan wilayah Islam itu daripada penindasan serta mewujudkan undang-undang berasaskan keadilan dan kesaksamaan.
Tetapi didorong oleh tekanan daripada Thai dan dengan penentangan komunis di Malaya dan selatan Thailand, British telah membubarkan Gempar.
Banyak kumpulan serpihan telah ditubuhkan tetapi tiada satu pun yang bersatu hingga ke hari ini. Justeru kejayaan di Selatan Thailand hari ini mesti berpandukan kepada latar belakang sejarah supaya kita dapat memahami isu dan perbezaan antara penduduk yang tinggal di selatan Thailand dan Bangkok.
Terdapat beberapa prinsip asas yang telah timbul daripada kes ini:
1. Bolehkah sebuah masyarakat yang membentuk 70 peratus daripada populasi tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan dan dalam pentadbiran bagi menentukan corak hidup mereka?
2. Adakah penaklukan Pattani sah?
3. Bolehkah sebuah masyarakat memutuskan hak untuk kebebasan beragama?
4. Bolehkah sebuah masyarakat menentukan hak mereka untuk menentukan cara hidup dalam era demokrasi ini?
5. Bolehkah sebuah masyarakat menentukan hak-haknya untuk kebebasan dan kemerdekaan ketika mereka adalah majoriti penduduk?
Penghakiman haruslah dibuat berasaskan kepada perkara-perkara ini. Adakah jalan penyelesaian yang boleh dilaksanakan? Ia memang sentiasa boleh dilaksanakan tetapi ia hanya boleh terjadi jika kita sanggup mendengar dan memahami, melupakan yang telah berlaku, memaafkan dan membantu antara satu sama lain. Fikirkan tomyam berbanding senjata api dan belantan.
Di Pattani hari ini kita berhadapan dengan situasi di mana 70 peratus populasi tidak mempunyai hak atau akses kepada pentadbiran dan aktiviti mencipta kekayaan di tempat sendiri.
Mereka menonton televisyen dan seperti kita, mereka juga ingin memiliki kereta, rumah yang selesa dan melancong ke seluruh dunia, tetapi mereka tidak boleh - bagi mereka ia adalah ilusi.
Demokrasi diasaskan kepada hak-hak individu dan kesejahteraan rakyat. Apabila senjata lebih disukai berbanding tomyam, adakah ini demokrasi?
Adakah order baru dunia berasaskan kepada kebebasan, kemerdekaan dan keadilan bagi yang memerintah?
Anda adalah hakim bagi kes Pattani???.
Oleh T.S. MICHAEL
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น