ANGGOTA tentera Thailand memeriksa mayat anggota puak pejuang Fathoni dalam serangan di Yala, semalam.
YALA 20 Mac - Dua lelaki bersenjata disyaki anggota puak pejuang, terbunuh dalam pertempuran di wilayah selatan Thailand yang bergolak, selepas melancarkan serang hendap ke atas pasukan keselamatan semalam, kata polis.
Seorang pegawai kanan polis berkata lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan renjer separa tentera awal pagi di kawasan pergunungan di wilayah Yala.
“Serangan itu dibalas pasukan keselamatan, menyebabkan berlaku pertempuran. Dua anggota pejuang terbunuh dalam serangan itu,” katanya.
Beliau berkata anggota lain kumpulan itu kemudian melarikan diri, manakala pasukan keselamatan berjaya merampas tiga laras raifal M-16 di lokasi kejadian.
Serangan itu adalah yang terbaru selepas kerajaan Thailand mengumumkan peningkatan keganasan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia dan mempunyai majoriti penduduk Muslim.
Sementara itu di wilayah Pattani, dua lelaki bersenjata membunuh seorang penjaja dalam satu kejadian tembakan dari kenderaan, manakala tiga renjer tentera di Narathiwat cedera dalam serangan bom tangan.
Keganasan di selatan Thailand bermula sejak 2004 dan setakat ini sudah mengorbankan lebih 4,500 orang.
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น